KUASA ekonomi baru dunia dibentuk China dan Rusia perlu diberi perhatian khusus dan tidak boleh dipandang sepi, kerana gabungan dua negara kuasa dunia itu pastinya memberi cabaran kepada rizab global mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).
Pengerusi Dewan Muda Dewan Perdagangan Melayu Malaysia, Hisham Abdul Hamid, berkata negara yang menjadikan dolar AS sebagai asas perkembangan ekonomi dan mata wang, harus melihat dan memberi perhatian terhadap keadaan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan laporan media antarabangsa baru-baru ini, Rusia dan negara BRICS membabitkan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, secara rasmi mengusahakan “rizab mata wang global baru” mereka sendiri.
“Ini pastinya menjadi satu perkembangan yang menarik perhatian dunia dan perlu diberi tumpuan.
“Sudah pasti Rusia yang baru saja berdepan konflik dengan Ukraine akan membina mekanisme baru untuk mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan Barat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, oleh itu pemain industri di Malaysia dan para penganalisis ekonomi negara juga perlu memberi perhatian terhadap perkembangan berkenaan.
Katanya, ia supaya Malaysia tidak tersisih dan tidak ketinggalan dengan pembangunan sistem berkenaan sekiranya ia memberi manfaat kepada ekonomi negara.
“Bank Negara Malaysia (BNM) harus peka dan maklum kepada rakyat pendekatan kuasa besar itu dalam usaha menunjangi ekonomi global melalui BRICS,” katanya.
Menurutnya, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia, adalah penting untuk negara kita memastikan kepimpinan negara dan kestabilan politik seharusnya selari.
“Malaysia bukan saja memerlukan kepada kestabilan politik, tetapi juga barisan kepimpinan yang mampu membaca, meramal serta menganalisis perkembangan ekonomi dunia supaya negara tidak ketinggalan.
“Dengan kata lain, Malaysia perlu diterajui oleh kerajaan dan kepimpinan yang berdaya saing serta memiliki pengalaman dalam menguruskan ekonomi apatah lagi ketika situasi ekonomi dunia yang tidak menentu,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: eurasianet

