MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menegaskan kehidupan sebenar bukan segalanya tentang kuasa, pangkat, gaji dan juga kedudukan.
Beliau berkata, sebaliknya kehidupan sebenar dan penuh erti ialah apabila setiap tapak, langkah dan perjalanan hidup seseorang itu mempunyai jasa, budi dan jariah kepada diri, keluarga, masyrakat serta negara.
“Selaku pemimpin, sentiasalah ingat apa tujuan sebenar kehidupan dan berpeganglah kepada tujuan tersebut sepanjang hayat. Ingat, ‘always keep grounded’,” katanya menerusi Facebook.
Perkara itu dinyatakan ketika bertemu dengan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang menghadiri Konvensyen Kepimpinan melibatkan 27 institut perguruan dari seluruh negara, malam tadi.
Radzi berkata, dalam pertemuan itu beliau berkongsi tentang kehidupan dan makna di sebalik kuasa dan tanggungjawab yang perlu difahami dan digalas sebaiknya apabila diangkat sebagai pemimpin.
“Sebagai pemimpin di institusi masing-masing, pastinya ia memberi mereka ‘kuasa’ yang sebenarnya adalah satu ujian dalam menjalankan amanah yang di galas.
“Kepada bakal pemimpin masa depan negara ini, saya ingatkan bahawa kehidupan sebenar bukan segalanya tentang kuasa, pangkat, gaji dan juga kedudukan,” katanya.
Dalam pada itu, Radzi turut menasihati pemimpin muda di kalangan pendidik supaya memanfaatlan peluang sebagai pemimpin dengan memberi yang terbaik untuk institusi masing-masing.
“Optimumkan potensi yang ada pada diri anda untuk merancang masa depan yang lebih gemilang,” katanya. – Malaysiapost

