Ronald Kiandee diminta beri penjelasan usaha lanjut kontrak wakil BN dalam GLC

0
1

KETUA Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu Malaysia, S Gobi Krishnan mendakwa terdapat Menteri dari Bersatu kini sedang berusaha melanjutkan kontrak Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Barisan Nasional (BN).

Beliau mendedahkan mendapat berita bahawa Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sedang melakukan perkara itu yang disifatkan.

Gobi Krishnan kesal dengan tindakan dilakukan Menteri terbabit tatkala Menteri-Menteri Umno dan BN didakwa menamatkan perkhidmatan Ahli Lembaga Pengarah dari Bersatu dalam GLC ketika ini.

“Saya amat kesal dengan tindak-tanduk Menteri dari Bersatu yang seolah-olah memberi nyawa kepada musuh dengan melanjutkan kontrak Ahli Lembaga Pengarah GLC dari BN tatkala Menteri-Menteri dari Umno/BN sedang giat menamatkan kontrak Ahli Lembaga Pengarah dari Bersatu dan diganti dengan pemimpin Umno/BN.

“Terbaru saya mendapat maklumat bahawa Menteri Pertanian dan Industri Makanan sedang dalam proses untuk melanjutkan kontrak Ahli Lembaga Pengarah GLC iaitu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dari parti MIC yang merupakan rakan gabungan BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berharap berita berkenaan adalah tidak benar dan menggesa Menteri dari Bersatu terbabit supaya segera memberikan penjelasan.

“Jika benar maka Menteri berkenaan harus diberi nasihat oleh kepimpinan Bersatu dan diseru agar mengubah keputusan ini.

“Seharusnya Menteri Bersatu memberi keutamaan kepada pemimpin dari Bersatu termasuk dari Sayap Bersekutu untuk apajua lantikan GLC, terutamanya untuk kuota selain Melayu,” tegasnya.

Beliau memohon maaf jika berita berkenaan tidak benar dan seterusnya akan mencadangkan nama pemimpin dari Sayap Bersekutu Bersatu yang layak memegang jawatan di GLC berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here