Ketua Penerangan MCA bidas pemimpin DAP Cuba main isu perkauman

0
1

KETUA Penerangan MCA, Chan Quin Er membidas pemimpin DAP, Teresa Kok kerana masih cuba untuk memainkan isu perkauman dalam sektor perkhidmatan awam.

Quin Er berkata, Ahli Parlimen Seputeh itu sepatutnya melakukan kajian dan analisis terlebih dahulu sebelum membangkitkan semula isu berkenaan.

Ia kerana, katanya, mengikut analisis dan statistik dilampirkan Teresa sendiri, boleh difahami walaupun tidak ramai kaum Cina dan India menyertai perkhidmatan awam, namun peratusan penerimaan khususnya untuk jawatan tinggi, lebih menggalakkan berbanding Melayu.

“YB Teresa Kok dengar cerita bangkitkan isu komposisi kaum dalam perkhidmatan awam macamlah perkauman berlaku dalam perkhidmatan awam.

“YB, apa kata buat analisis dulu, tengok data orang Melayu yang ramai minta masuk sektor awam (754,106), cina tak ramai (19,216) tetapi peratusan cina diterima masuk (sektor awam) lebih tinggi iaitu 4.72 peratus berbanding Melayu 1.91 peratus.

“YB kongsi statistik di Facebook… Saya tolong YB kira peratusan turus dan JUSA iaitu pegawai awam pangkat tertinggi, biarpun bilangan Cina dan India dalam sektor awam tidak tinggi tapi peratusan turus dan JUSA dalam kalangan mereka amat menggalakkan,” katanya menerusi video dimuatnaik di TikTok.

Tambah Quin Er, kebanyakan golongan Cina lebih suka berdikari iaitu bekerja sendiri atau menyertai sektor swasta yang dianggap gaji lebih tinggi dari sektor awam.

Justeru, katanya, jika Teresa mahu Cina lebih ramai dalam sektor awam, maka beliau perlu mencari inisiatif untuk menarik minat golongan tersebut, bukan ‘melagakan’ rakyat.

Malah, beliau berkata, rakyat sudah muak dengan isu perkauman ini.

“YB, sayapun Cina. Saya sendiri bermula sebagai penjawat awam di Jabatan Peguam Negara. YB tahulah kan anak Cina kita ni lebih suka masuk swasta dan bekerja sendiri, tak minat nak masuk kerajaan.

“Kerana ada persepsi gaji tak tinggi, naik pangkat susah, ada kuota. Jadi, bagi mereka yang nak tuduh tak adil dari segi kaum ini, mengapa?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here