POLIS mengakui menghadapi kesukaran mengesan pekerja kontraktor yang melaksanakan pengubahsuaian rumah bekas personaliti TV3, Zalina Azman berikutan kerja tersebut sudah lama dilakukan.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata sehingga kini polis belum dapat mengenal pasti identiti pekerja terbabit sama ada mereka orang tempatan atau warga asing.
“Bila masanya rumah tersebut diubah suai juga agak lama dan bukan dalam masa terdekat. Hal berkenaan menyukarkan kita, melainkan pekerja berkenaan tampil memberikan maklumat.
“Kita belum pasti mereka (pekerja) warga tempatan atau asing,” katanya pada sidang media, di IPK Selangor, Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan polis giat mengesan pekerja yang pernah melakukan kerja pengubahsuaian rumah Zalina di Seksyen 3, Shah Alam.
Sasikala menegaskan, polis masih menjalankan siasatan dengan Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi Orang Hilang (OH) akan diteruskan polis.
“Kita tetap teruskan sekiranya ada apa-apa petunjuk dan jalankan siasatan berdasarkan petunjuk tersebut,” katanya. – Malaysiapost

