SEBANYAK 382 botol minuman alkohol disita dan kompaun bernilai RM47,500 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Minuman Beralkohol pada 19 hingga 20 Julai lalu.
Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata operasi berkenaan dijalankan serentak di seluruh negara yang bertujuan memastikan pematuhan peraturan-peraturan berkaitan produk minuman beralkohol.
Menurutnya, 15 notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 turut dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang ditemukan adalah kesalahan label iaitu tiada nama dan alamat pengimport, tiada perkataan ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ pada bungkusan dan gagal mempamerkan notis di hadapan lokasi jualan.
“Selain itu, penjual tidak meletakkan tanda larangan jualan minuman beralkohol kepada mereka yang berumur di bawah 21 tahun di kaunter jualan minuman beralkohol,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sebanyak 11 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk Pusat Kesihatan (PK) Pintu Masuk di negeri itu terbabit dalam menjayakan operasi berkenaan.
Beliau berkata, JKNS menyeru kepada semua pengguna dan pembeli agar lebih prihatin terhadap penjualan produk makanan terutamanya minuman beralkohol bagi mengelakkan kes keracunan metanol yang biasa dikaitkan dengan minuman alkohol yang dikilangkan secara tidak sah.
“Pastikan minuman beralkohol mempunyai pelekat duti eksais Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan mematuhi Akta Makanan 1983.
“Pengguna boleh menyalurkan maklumat berkaitan premis yang melanggar perundangan makanan kepada PKD terdekat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau di laman sosial Facebook JKNS,” katanya. – Malaysiapost

