Adam Adli antara 10 individu beri keterangan polis

0
1

10 individu termasuk pemimpin parti politik pembangkang telah merakamkan keterangan polis berhubung himpunan bantah kenaikan harga barang di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata mereka antara 30 individu yang dipanggil untuk dirakam keterangan, hari ini.

“Setakat ini, 10 individu sudah selesai dirakam keterangan berhubung penganjuran himpunan itu.

“Esok pula seramai 15 individu lagi dijangka akan hadir bagi diambil keterangan mereka,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Terdahulu, pemimpin parti politik yang dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 2.40 petang.

Antara pemimpin parti politik yang sudah selesai dirakam keterangan adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Abbas Salimmi Che Adzmi.

Kira-kira 100 individu menyertai himpunan yang berlangsung pada pukul 2 petang, Sabtu lalu di Jalan TAR dan percubaan mereka untuk berarak ke Dataran Merdeka, gagal selepas disekat polis.

Perhimpunan dipercayai bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here