2 tahun PKR alami kelesuan politik – Rafizi 

0
1

TIMBALAN Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli menegaskan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bersama Pakatan Harapan (PH) telah mengalami kelesuan politik selama dua tahun. 

Bukan itu sahaja, malah katanya penyokong kuat parti yang diasaskan pada tahun 1999 itu sering mengkritik, ala lagi memberi sumbangan dalam bentuk kewangan. 

“KEADILAN/PH telah berdepan dengan kelesuan politik selama dua tahun dan penyokong tegar pun selalu mengkritik (apatah lagi menyumbang kewangan!),” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu menerusi hantaran di Facebooknya. 

Sehubungan itu, Rafizi berkata usaha menyatukan rakyat yang cintakan persaudaraan berasaskan keadilan dari pelbagai kaum kini diusahakan menerusi program Ayuh Malaysia, antara lain bagi mengukuh semula PKR dan PH. 

Menurutnya, program di Kuala Lumpur, Johor Baharu dan hari ini di Pulau Pinang menyaksikan ratusan meja dijual yang mana mereka yang menyumbang dan hadir terdiri pendukung PKR dan PH, aktivis, golongan profesional serta anak muda.

“Ini adalah acara membina keupayaan kewangan bersiri yang paling besar dan konsisten dianjurkan oleh KEADILAN/PH sejak pengkhianatan Februari 2020. 

“Kita akan ambil masa untuk mendapatkan kembali kekuatan sebelum ini. KIta perlu berusaha lebih keras untuk memenangi hati rakyat. 

“Tetapi percayalah kita sekarang sudah berdiri. Selepas ini kita berlari anak untuk memanaskan badan. Selepas itu kita pecut. 

“Lawan politik kami lupa bahawa kami dilahirkan sebagai aktivis di jalan raya yang biasa dikejar, dipukul dan dihumban ke lokap sejak kami awal 20an. 

“Setiap kali kami jatuh, kami tidak pernah gagal untuk bangun,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here