Kadar inflasi Malaysia terendah di Asia Tenggara – PM

0
1

MALAYSIA masih mengalami inflasi pada kadar terendah di Asia Tenggara, hasil usaha berterusan kerajaan menanganinya dengan memberikan subsidi berjumlah RM77 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim dunia memberi kesan dan cabaran kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia

“Kenaikan harga jagung bijirin dan baja serta kenaikan kos logistik menyebabkan peningkatan harga barangan, yang menyaksikan kadar inflasi juga meningkat tinggi.

“Namun, Malaysia masih mengalami inflasi pada kadar terendah di Asia Tenggara hasil usaha berterusan kerajaan menanganinya dengan memberikan subsidi berjumlah RM77 bilion.

“Kerajaan sentiasa mendengar dan menyelami keluhan Keluarga Malaysia mengenai kenaikan harga barang khususnya membabitkan bahan makanan, dengan RM1.1 bilion dibelanjakan untuk subsidi ayam dan telur dan RM4 bilion untuk minyak masak peket,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian dalam mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan, dengan memperuntukkan RM124 juta kepada hampir 590,000 penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), meliputi golongan isi rumah, bujang dan warga emas yang memerlukan.

Beliau berkata, kerajaan juga memberikan bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

“BKM adalah bantuan tunai tertinggi dalam sejarah, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM8.2 bilion.

“Sementara itu, kaedah menangani miskin tegar dengan kaedah baru secara holistik membabitkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan sedang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here