ORANG ramai tidak perlu bimbang membeli ‘ayam gemuk’ yang banyak berada di pasaran tempatan ketika ini
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, situasi berkenaan berlaku kerana kini terdapat lebihan bekalan ayam di dalam pasaran.
Menurutnya, bekalan ayam dan juga telur dalam negara telah kembali pulih sejak Julai dengan bekalan harian melebihi jumlah penggunaan bagi kedua-dua produk terbabit.
“Bermula Julai ini, bekalan bagi ayam telah kembali pulih dengan jumlah pengeluaran setiap hari adalah sebanyak 2.01 juta ekor manakala penggunaan ayam hanyalah 1.8 juta ekor, bermakna kita ada lebih.
“Ini bermakna bekalan kita bukan sahaja mencukupi malahan berlebihan, jadi ada penternak ayam kita mempunyai masa mencukupi untuk membesarkan ayam sebelum ianya dipasarkan,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, dipetik Kosmo, hari ini.
Ahmad menjelaskan, ayam-ayam yang berada di pasaran ketika ini kelihatan sedikit gemuk adalah kerana haiwan berkenaan sihat dan mendapat makanan yang mencukupi.
“Disebabkan bekalan mencukupi, penternak kita melambatkan pengeluaran, jadi apabila lambat ayam ini terlebih sihat dan terlebih makan kerana ada sehingga 40 atau 43 hari baharu dijual, jadilah mereka ‘ayam gemuk’.
“Tetapi itu semua tiada masalah, ada juga ayam yang bersaiz sederhana dan kecil di pasaran jadi pengguna boleh buat pilihan saiz mana yang dimahukan mereka, tiada masalah,” katanya. -Malaysiapost

