Polis cari pemilik akaun TikTok bantu siasatan peronda polis ambil suapan

0
1

POLIS sedang mengesan pemilik akaun TikTok stikerpro_my, bagi membantu siatan berhubung klip video tular sebuah kereta peronda polis didakwa mengambil suapan di sebuah stesen minyak, semalam.

Ketua Polis daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata satu klip video pendek tular berdurasi 31 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun tersebut semalam yang memapar kejadian berkenaan.

Katanya, hasil siasatan serta penelitian awal terhadap klip video berkenaan mendapati kejadian berkenaan mungkin berlaku di stesen minyak Shell Lebuhraya Kuala Lumpur ke Seremban, menghala ke pusat bandar berhampiran pintu gerbang sempadan Kuala Lumpur ke Selangor.

“Justeru, usaha untuk mengesan serta mengambil keterangan pemilik akaun Tik Tok berkenaan sedang dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Amihizam menyeru pemilik akaun Tik Tok tersebut mahupun orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan tarikh dan masa kejadian serta nombor pendaftaran kereta peronda polis berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

“Sebarang maklumat bolehlah disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here