KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan supaya kos peruntukan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dinaikkan sekurang-kurangnya RM4 bagi sekolah di Semenanjung dan RM5 untuk sekolah di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata peruntukan RM2.50 bagi sepinggan hidangan RMT di Semenanjung dan RM3 untuk Sabah dan Sarawak ketika ini tidak cukup untuk membekalkan makanan berkhasiat kepada murid.
“Kalau tanya saya sebagai Menteri Kesihatan, peruntukan sedia ada untuk RMT sebenarnya adalah tidak mencukupi untuk menampung kos bahan mentah yang mengikut menu RMT yang disediakan oleh KKM.
“Berdasarkan pemantauan kepada pematuhan menu RMT yang dijalankan oleh Bahagian Pemakanan KKM pada Januari hingga Jun lalu, kita dapati hanya 61 peratus sekolah yang dipantau mematuhi menu (makanan sihat) yang ditetapkan.
“Salah satu faktor ketidakpatuhan adalah disebabkan peningkatan harga barang mentah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia iaitu makmal penyelidikan klinikal onkologi pusat yang pertama di Malaysia, di sini hari ini.
Khairy berkata, perkara itu akan dibangkitkannya dalam Mesyuarat Kabinet dan menegaskan ia bukan salah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana kementerian berkenaan memang tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi.
“Ia bukan salah KPM, sebab peruntukan KPM memang tak cukup. Isu sekarang kerana kenaikan harga bahan mentah. Peruntukan perlu ditambah untuk KPM. Jika tidak murid tidak dapat makanan sihat,” katanya.
Beliau berkata KKM juga akan mencadangkan supaya bantuan RMT terus diberikan kepada kanak-kanak dari kumpulan miskin tegar iaitu seramai 789,902 orang. – Malaysiapost

