BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan Rafizi Ramli yang mempersoalkan mengapa beliau tidak disiasat berhubung penyelewengan dana Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).
Ahli Parlimen Pekan itu, mendakwa persoalan dibangkitkan tu adalah tindakan terdesak Timbalan Presiden PKR berkenaan.
“Nampak ‘desperate’ sangat. Jika bukan desperate maka bebal.
“Adoi! PM (Perdana Menteri) dan Menteri Kewangan tak luluskan pinjaman-pinjaman bank,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Rafizi mempersoalkan kenapa sehingga sekarang Najib, sebagai Menteri Kewangan yang menjadi bos kepada BPMB ketika itu belum disiasat oleh SPRM mengenai dana pinjaman sebanyak RM1.5 bilion.
Bekas Ahli Parlimen itu mendakwa terdapat bukti jelas dana-dana terbabit diberikan kepada kenalan rapat Najib.
Sementara itu Najib menjelaskan, setiap bank mempunyai jawatankuasa kredit dan dasar pinjaman tersendiri.
“Pemilik saham terbesar Maybank adalah PNB (Permodalan Nasional Berhad). PNB pula bawah seliaan Menteri Kewangan.
“Pemilik saham terbesar RHB ialah KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). KWSP pula bawah seliaan Menteri Kewangan. Pemilik saham terbesar bank CIMB pula adalah Khazanah Nasional. Saya pengerusi Khazanah masa itu.
“Adakah saya juga perlu disiasat bagi setiap kes penipuan, kehilangan atau kerugian urusniaga bank-bank Malaysia dalam tempoh sembilan tahun saya PM? soalnya.
Najib turut mempersoalkan kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menyiasat penyelewengan yang didakwa itu semasa memerintah. – Malaysiapost

