PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan beliau serta beberapa Ahli Parlimen lain masih mahukan isu mengenai tuntutan Kumpulan Sulu itu dibahaskan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, pendirian tegas pembangkang berhubung perkara itu adalah jelas kerana ia membabitkan pergolakan dan keselamatan negara.
“Taklimat (malam) tadi, kita bukan hanya berbincang dan menyuarakan tentang perlunya perbahasan diadakan berkenaan apa yang perlu disuarakan itu. (Perkara itu) bukan rahsia pun.
“Pendirian kita cukup tegas, bukan dalam konteks kita katakan bahawa perkara ini tentang pergolakan negara, tetapi di samping itu ia membabitkan keselamatan negara.
“Jadi kita mahukan perbahasan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Terdahulu, Mohd Shafie menghadiri sesi taklimat membabitkan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang berkenaan tuntutan Kumpulan Sulu berlangsung lebih dua jam dalam situasi tertutup, malam tadi.
Mesyuarat berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, berakhir kira-kira jam 11 malam, dengan kebanyakan Ahli Parlimen yang hadir tidak mendedahkan butiran taklimat disebabkan terikat Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Terdahulu, petugas media diarahkan tidak membuat liputan mengenai taklimat tertutup untuk Ahli Parlimen di hotel terbabit dengan alasan terikat OSA.
Menurut seorang pegawai kerajaan, isi kandungan taklimat itu termaktub mengikut OSA, malah senarai Ahli Parlimen yang menghadiri juga tidak akan dimaklumkan kepada media.
Beberapa menteri yang kelihatan antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Sementara itu, Saifuddin ketika ditemui hanya memaklumkan perbincangan berlangsung dengan baik dan Wisma Putra mengambil maklum butiran ditimbulkan Ahli Parlimen.
Ditanya mengenai hasrat Mohd Shafie, beliau berkata, ia perlu ditanyakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Tanya beliau kerana beliau yang mempengerusikan taklimat,” katanya.
Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menjelaskan, beliau menolak usul berkenaan kerana ia bersifat subjudis dan perbahasan usul itu boleh mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh. – Malaysiapost

