Tuntutan waris Sultan Sulu berpunca daripada Najib – Tun M

0
1
kombinasi

KERAJAAN perlu menyelesaikan segera isu tuntutan waris kesultanan Sulu bagi mengelakkan kedaulatan negara terus terancam. 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tuntutan waris kesultanan Sulu berpunca daripada keputusan Datuk Seri Najib Razak yang mungkir janji untuk membayar RM5,300 setahun kepada pihak berkenaan sejak 2013.

Menurutnya, Najib yang menjadi Perdana Menteri ketika itu mengarahkan kerajaan menghentikan bayaran wang serahan kepada waris kesultanan Sulu kerana mendakwa menjadi dalang pencerobohan Lahad Datu.

Dr Mahathir yang ditemu bual dalam program Eksklusif Sinar Harian berkata, kegagalan mengemukakan bukti kukuh mengenai pencerobohan itu menjadi titik permulaan waris kesultanan Sulu mengambil tindakan undang-undang di mahkamah antarabangsa terhadap kerajaan kerana mungkir janji menghentikan bayaran RM5,300 setahun. 

Dr Mahathir menegaskan, isu tuntutan ini harus diteliti dan dijadikan iktibar bagi memastikan setiap keputusan dibuat kerajaan berhubung isu sensitif melibatkan sebarang perjanjian tidak akan berulang lagi selepas ini.

Dr Mahathir sebelum ini turut menafikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjadi punca isu berkenaan timbul.

Beliau berkata, Tommy menulis surat kepada waris Sultan Sulu untuk menyatakan rasa kesal dan menawarkan bayaran sebanyak RM48,000 bagi menyelesaikan pembayaran yang dihentikan.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menjelaskan keputusan tidak membenarkan isu tuntutan waris kesultanan Sulu dibahaskan di Parlimen bagi mengelak segala strategi dan perancangan kerajaan dalam mendepani kes yang masih berjalan di mahkamah itu diketahui pihak lawan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here