Pemikiran ekonomi Dr Mahathir sudah terkebelakang – Asyraf Wajdi

0
1
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KRITIKAN terbaharu Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) membuktikan pemikiran ekonomi bekas Perdana Menteri itu sudah terkebelakang.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi yang turut membidas dakwaan Dr Mahathir bahawa projek berkenaan hanya merugikan negara. 

“Contohnya Laporan Bank Dunia tahun 2014 mengatakan bahawa kerugian ekonomi akibat masalah kesesakan di Greater Kuala Lumpur mencecah RM20 bilion setahun.

“Justeru, HSR adalah antara penyelesaian yang sangat praktikal bagi masalah ini dengan mewujudkan ‘reverse migration’. 

“Yang mana pekerja di Lembah Klang tidak perlu tinggal di kawasan berkenaan sebaliknya boleh berpindah ke daerah lain seperti Muar. Walaupun jaraknya jauh, tetapi dengan HSR perjalanan antara 2 kawasan ini adalah kurang 45 minit,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, semua projek infrastruktur awam adalah kunci kepada kewujudan pekerjaan dan memulihkan semula ekonomi seperti mana dilakukan Amerika Syarikat (AS). 

“AS telah melakukannya sebanyak dua kali dan berjaya. Kali pertama pada tahun 1930 (Great Depression) yang mana negara tersebut melancarkan projek infrastruktur awam besar-besaran termasuklah pembinaan Hoover Dam dan Bay Bridge.

“Pada krisis ekonomi 2009 pula, US meluluskan American Recovery and Investment Act 2009 yang mengandungi pakej pembinaan infrastruktur awam bernilai USD85 bilion.

“Semua ini sebenarnya mencipta pekerjaan, mewujudkan ‘ripple effect’ kepada perniagaan sedia ada, menambah peluang pendapatan kepada rakyat dan akhirnya meningkatkan hasil negara,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, ketika berlaku krisis ekonomi, kerajaan tidak boleh takut berbelanja sebaliknya wajib menambah perbelanjaan bagi pembangunan negara dan bantuan kepada rakyat (safety net). 

“Jika kerajaan perlu berjimat, maka penjimatan itu hendaklah pada perbelanjaan tidak perlu seperti perjalanan luar negara, kemudahan menteri dan pegawai tinggi serta majlis acara/sambutan kerajaan yang bersifat tidak mendesak. 

“Bukannya dengan menyekat belanja pembangunan atau mengurangkan subsidi yang akhirnya memangsakan rakyat,” katanya.

Menegaskan perkara itu, Asyraf Wajdi berkata, ternyata dasar jimat-cermat yang dilaksanakan terdahulu telah terbukti gagal memulihkan perbendaharaan negara seperti mana ketika krisis ekonomi serantau 1998. 

“Namun, Dasar Memperkayakan Rakyat melalui Bajet Mini 2009 telah berjaya mengeluarkan negara kita daripada krisis ekonomi global dalam masa yang cepat,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir dalam kenyataan berkata, HSR hanya menjimatkan masa jika ia menempuh jarak yang jauh dan untuk jarak pendek masa yang dijimatkan adalah tidak penting.

Selain itu, Dr Mahathir juga menyifatkan pembinaan HSR sangat mahal dan tidak perlu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here