JAWATANKUASA Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum ditubuhkan bagi melihat bukti terkini mengenai penggunaan ketum serta kanabis terutama untuk tujuan perubatan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, jawatankuasa itu akan bermesyuarat buat kali pertama dan dipengerusikannya pada Isnin hadapan.
“Selepas jawatankuasa ini mendapat pandangan daripada pakar-pakar sama ada ketum atau kanabis boleh digunakan dengan selamat bagi tujuan-tujuan tertentu untuk perubatan, maka kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran produk sedemikian.
“Maka ini akan memberi kesan kepada penanam ketum yang mungkin boleh mendapatkan hasil ekonomi daripada penjualannya,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy bagaimanapun memaklumkan, untuk ketum, Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi mahu melihat bukti terlebih dahulu sebelum ia boleh digunakan.
“Tetapi bagi kanabis ada kemungkinan besar kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran produk-produk yang ada kaitan dengan kanabidiol (CBD) menjelang akhir tahun ini supaya dapat dipertimbangkan pendaftarannya dan penggunaannya untuk penyakit-penyakit tertentu pada tahun hadapan,” katanya.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menjawab cadangan Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) mengenai hala tuju kerajaan untuk membenarkan penggunaan ketum bagi tujuan perubatan di negara ini.
Beliau berkata, RUU Racun (Pindaan) 2022 itu antara lain bertujuan memberi fleksibiliti dalam pengendalian racun dengan membenarkan penggunaan dokumen berbentuk elektronik serta meningkatkan beberapa penalti dalam Akta 366 berhubung penggunaan racun dan bahan psikotropik.
RUU berkenaan kemudian diluluskan sebulat suara oleh Ahli Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga hari ini. – Malaysiapost

