POLIS mengesahkan tiada pergerakan ke luar negara dikesan membabitkan bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan wanita itu termasuk pertukaran maklumat dengan pelbagai agensi berkaitan.
Beliau berkata, polis turut berkerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan juga syarikat telekomunikasi.
Jelasnya, pertukaran maklumat itu mengambil masa dan proses tertentu untuk mendapatkan keputusannya.
Menurutnya, sebelum pertukaran maklumat dibuat, polis sudah memulakan siasatan sebaik menerima laporan kehilangan mangsa penghujung November tahun lalu.
“Pertukaran maklumat dengan beberapa agensi seperti JIM, KKM, SSM dan syarikat telekomunikasi sudah dilakukan.
“Antaranya, siasatan mendapati, tiada pergerakan ke luar negara oleh mangsa (Zalina) berkenaan, malah tiada rawatan perubatan diterima mangsa di mana-mana hospital, nombor telefon mangsa juga tidak aktif sejak kehilangannya.
“Oleh itu, selepas usaha berkenaan tidak membuahkan hasil, pihak polis bertindak mengeluarkan hebahan itu bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Mohd Iqbal berkata, hebahan Orang Hilang (OH) kepada umum adalah langkah terakhir dalam usaha menjalankan siasatan kes orang hilang.
“Polis tidak melambatkan hebahan sebaliknya kita mengambil masa untuk membuat semakan dengan beberapa agensi berkaitan dalam usaha kesan mangsa.
“Perkara ini perkara biasa dalam siasatan kes orang hilang dan hebahan ini juga membolehkan orang awam menyalurkan maklumat.
“Usaha mengesan mangsa memang ada dijalankan selama ini, cuma kita melipatgandakan lagi usaha berkenaan,” katanya.
Penjelasan itu sekali gus menjawab persoalan mengapa polis mengambil masa sehingga lapan bulan sejak kehilangan mangsa sebelum hebahan dikeluarkan.
Terdahulu, media melaporkan polis giat mencari bekas personaliti TV3 itu yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.
Mohd Iqbal berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.
Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital. – Malaysiapost

