WALAUPUN Rafizi Ramli mengakui beliau bukan seperti bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali namun kedua-dua mereka mempunyai banyak persamaan, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, berkata ciri persamaan itu termasuk kedua-dua mereka ‘melawan tokey’, mempunyai ‘mafia’ (pengikut ekstrem) sendiri serta berkebolehan memainkan emosi ahli PKR.
“Semasa ucapan penggulungan, Rafizi kata dia bukan Azmin. Anwar senyum. Betul, Rafizi bukan Azmin. Kita pun tidak pernah dengar Rafizi ada video macam Azmin.
“Tetapi banyak persamaan antara mereka berdua. Dua-dua lawan towkey. Keduanya ada mafia sendiri. Azmin dan Rafizi berkebolehan main emosi ahli PKR,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, ketika ini Rafizi berasa bangga kerana lebih 100 cabang PKR membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu tuntutan waris Sultan Sulu.
Dalam pada masa sama, beliau berkata, keadaan itu sekali gus menyaksikan Anwar yang juga Presiden PKR tidak mampu berbua apa-apa dan semakin tersisih.
“Rafizi seronok kerana lebih 100 cabang PKR buat laporan polis terhadap Najib. Mereka ikut cakap dia. Anwar tak terkata apa. Dia makin tersisish.
“Laporan polis dibuat kerana Najib henti bayar pampasan kepada waris Sultan Sulu RM5300 setahun.
“Maksudnya Rafizi iktiraf serangan terhadap Lahad Datu. Luka hati keluarga anggota keselamatan yang terkorban,” katanya.
Baru-baru ini, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR, mengakui beliau agak lantang bersuara, namun menegaskan tidak akan sesekali menjadi seperti Mohamed Azmin yang pernah mengkhianati parti.
Beliau menegaskan perkara itu selepas tindak tanduk dan kenyataannya mengenai parti dilihat seakan-akan bertentangan serta seolah-olah melawan Anwar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Ahad lalu. – Malaysiapost

