Polis Johor rampas kapal tangki, 122,000 liter diesel

0
1

SATU sindiket penyelewengan diesel bersubsidi terbesar di Johor setakat ini, berjaya ditumpaskan dengan rampasan sebuah kapal tangki serta 122,000 liter diesel di sebuah jeti di Sungai Tiram, Kota Tinggi, Johor, kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata serbuan dijalankan jam 1 pagi Ahad lalu hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Menurutnya, seramai 19 ahli sindiket berkenaan membabitkan 11 lelaki tempatan dan lapan lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 58 tahun berjaya ditahan di premis yang dijadikan tempat transit penyeludupan diesel bersubsidi berhampiran jeti itu.

“Semakan mendapati enam daripada yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

“Hasil serbuan berjaya membuat rampasan termasuk sebuah kapal tangki yang nilainya dianggarkan kira-kira RM12 juta dan tiga lori tangki yang mengandungi keseluruhan 122,000 liter diesel,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan, hari ini.

Kapal tangki yang dirampas

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket penyeludupan diesel bersubsidi itu dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan lalu dengan menjadikan lokasi jauh di pedalaman sebagai tempat transit sebelum dibawa ke perairan antarabangsa menggunakan kapal tangki.

“Minyak diesel berkenaan dibeli pada harga subsidi RM2.15 seliter sebelum ia dijual pada harga RM3.50 di pasaran gelap antarabangsa.

“Polis akan menyiasat sumber diesel yang cuba diseludup dan rangkaian pemasarannya di pasaran gelap,” katanya.

Siasatan mendapati sindiket penyeludupan diesel bersubsidi itu dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan lalu

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau meminta pengusaha stesen minyak tampil bekerjasama membantu siasatan bagi memastikan kegiatan penyeludupan diesel dapat dihapuskan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here