PKR Pahang buat 10 laporan polis terhadap Najib

0
2

SEPULUH laporan polis dibuat terhadap Datuk Najib Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga mengakibatkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 billion daripada waris Sultan Sulu.

Ketua Cabang PKR Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, laporan dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri itu mengikut peruntukan Kanun Jenayah sedia ada.

“Hari ini sebanyak 10 laporan dibuat mewakili cabang PKR Pahang, selain individu di negeri ini yang dilakukan secara berperingkat.

“Laporan dibuat bagi memastikan seorang penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian hingga merugikan rakyat dan negara,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Fakhrul Anuar memberitahu terdapat Akta 574 dan peraturan-peraturan mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam
(Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395).

Tambahnya, akta dan peraturan itu boleh diguna pakai dalam menentukan unsur kecuaian dilakukan Ahli Parlimen Pekan itu dalam menangani isu berkenaan.

“Waris Sultan Sulu membuat tuntutan selepas pentadbiran negara diketuai Najib membuat keputusan menghentikan bayaran tahunan pada tahun 2013.

“Keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Sultan Sulu memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, notis tindakan saman itu telah dihantar kepada pentadbiran Najib pada 2 November 2017 semasa masih menjadi Perdana Menteri.

“Sekiranya Najib tidak cuai dalam menjalankan tugas, pasti beliau (Najib) telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang setelah bayaran itu dihentikan,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here