Penuhi keperluan tempatan dahulu, sebelum eksport minyak masak – Zahid

0
1
zahid hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan perlu memastikan stok minyak masak mencukupi dengan harga munasabah di pasaran tempatan.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata keperluan eksport penting, namun keperluan tempatan perlu dipenuhi terlebih dahulu.

“Ramai rakyat terutama berpendapatan rendah mengeluh apabila sukar mendapat bekalan minyak masak subsidi.

“Terdapat ramai juga bersungut apabila harga minyak masak biasa semakin meningkat sedangkan ini merupakan   keperluan harian kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, terdapat banyak rungutan berkenaan harga minyak masak kelapa sawit di Malaysia sepatutnya lebih murah berbanding negara bukan pengeluar.

Katanya, ini kerana Malaysia  merupakan antara lima negara pengeluar minyak kelapa sawit yang terbesar dunia.

“Maka, isu harga minyak kelapa sawit, isu minyak masak subsidi perlu ditangani agar tidak membebankan pengguna.

“Dalam soal ini bukan golongan B40 sahaja terkesan dengan harga minyak masak, akan tetapi semua lapisan masyarakat dan keluarga merasainya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid  menegaskan kerajaan harus lebih agresif menyelesaikan masalah ketirisan subsidi dan penyeludupan minyak.

Tambah beliau, penangkapan besar-besaran terhadap aktiviti penyeludupan dan dalang di sebalik masalah ini perlu disegerakan selain dengan bantuan liputan pihak media.

Beliau berkata, pihak pengeluar perlu ada rasa nasionalisme ekonomi untuk memastikan kehidupan rakyat tidak terbeban dengan harga yang terlalu tinggi.

“Makcik goreng pisang juga ialah  warganegara kita. Maka kita perlu bantu semua lapisan masyarakat kita dengan memastikan harga munasabah minyak masak untuk kesejahteraan masyarakat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here