Lelaki ditahan hina polis

0
1

SEORANG lelaki ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina anggota polis, semalam.

Suspek berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit turut didapati positif syabu ditahan ketika penguatkuasaan trafik Op Pematuhan dilakukan di jalan belakang Petron, jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, berkata terdahulu pihak polis yang bertugas menahan suspek yang menunggang motosikal Honda semasa menjalankan tugas penguatkuasaan trafik Op Pematuhan.

Katanya, dalam pemeriksaan yang dilakukan, anggota bertugas mendapati suspek melakukan tiga kesalahan lalu lintas iaitu abai isyarat lalu lintas, lesen kenderaan memandu (LKM) tamat tempoh, dan tiada perlindungan insuran.

“Anggota bertugas kemudiannya mengeluarkan saman Pol 257 terhadap kesalahan yang dilakukan suspek.

“Namun, suspek tidak berpuas hati dengan tindakan saman oleh anggota bertugas, dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota bertugas.

“Anggota bertugas menerangkan kepada suspek akibat dari kata-kata kesat yang dikeluarkannya tetapi tidak diendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaizul berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Pasir Puteh bersama motosikal suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Hasil ujian saringan awal ke atas suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine namun tiada rekod lampau direkodkan,” katanya.

Beliau berkata, satu kertas siasatan lain juga dibuka dan disiasat dibawah Seksyen 15 (1) ADB 1952 dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here