Kerajaan komited selesai 3 perkara utama – Ismail Sabri

0
1

KERAJAAN komited menyelesaikan masalah pengambilan pekerja asing, mengurangkan karenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiga perkara utama itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikannya hari ini.

Menurutnya, kerajaan mendengar keluhan dan pandangan dari pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal.

Beliau berkata, kerajaan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan pihak swasta melalui sesi libat urus yang berterusan.

Katanya, mesyuarat kali ini menetapkan beberapa keputusan, antaranya kerajaan kekal komited bagi mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing dengan mengambil beberapa pendekatan.

“Pertama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung Julai ini.

“Kedua, majikan digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.

“Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat mengambil maklum prestasi program MyMudah yang dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mengurangkan kerenah birokrasi, namun masih banyak rungutan diterima.

“Oleh itu, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah.

“Sebanyak 30 peratus isu yang diterima melalui MyMudah sudah diselesaikan dalam masa kurang daripada 60 hari seperti mana yang disasarkan.

“Sehubungan itu, kerajaan turut menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari juga,” katanya.

Justeru, penubuhan Unit MyMudah perlu disegerakan bagi kementerian yang belum melaksanakannya dan tumpuan juga perlu diberikan kepada penubuhan MyMudah di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan program berkaitan sekuriti makanan negara yang sudah dipersetujui kerajaan dengan segera.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan permasalahan dihadapi pemain industri diselesaikan segera melalui usaha sama oleh semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here