Isu ladang Musang King di Baling tidak perlu dipolitikkan secara keterlaluan – Ahmad Bashah

0
2

BEKAS Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, tampil menjelaskan isu penanaman durian Musang King di ladang hutan di Gunung Inas, yang didakwa menjadi punca berlakunya bencana banjir dan kepala air di Baling baru-baru ini.

Menurutnya, ketika mengambil alih sebagai Menteri Besar, sebuah syarikat tempatan iaitu ECK Development Sdn Bhd membeli syarikat Aman Mega yang sebelum itu diberi kelulusan menguruskan kawasan Gunung Inas oleh Menteri Besar terdahulu.

Beliau berkata, pada masa itu cadangan yang dikemukakan oleh ECK kepadanya adalah supaya kawasan berkenaan dijadikan ladang durian Musang King pada skala besar.

“Tujuan tidak lain adalah untuk memastikan kawasan yang sebelum ini dijalankan aktiviti pembalakan dilindungi semula dengan tanaman supaya ia kelak tidak menjadi masalah kepada kawasan sekitar.

“Kelulusan itu, tidak sama sekali untuk tujuan pembalakan yang baharu kerana aktiviti pembalakan sudah pun berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, tumpuan kerajaan negeri ketika itu adalah untuk memastikan supaya kawasan berkenaan dilindungi semula dan dibaik pulih selepas pembalakan.

“Cadangan dari ECK itu kemudiannya diangkat untuk pertimbangan kerajaan. Sebagai Menteri Besar sudah tentu saya tidak boleh mengambil keputusan semberono. Ia perlu melalui beberapa peringkat penelitian dan mesyuarat khas di peringkat kerajaan.

“Sebenarnya banyak cadangan lain lagi tetapi bagi kerajaan pada masa itu cadangan dari ECK tampak lebih meyakinkan.
Kita mengambil kira pelbagai faktor termasuk faktor ekonomi, alam semulajadi, kepentingan penduduk dan sebagainya,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri memberi kelulusan itu untuk melindungi semula kawasan tersebut disamping kerajaan turut mendapat faedah dan pulangan yang difikirkan setimpal.

“Apa yang penting bagi kerajaan, adalah isu di kawasan hutan Inas itu diselesaikan segera.

“Tidak pula saya berpolitik untuk menuding jari kepada sesiapa. Kerana saya sangat faham kerajaan negeri mana sekalipun tidak akan membiarkan perkara ini berterusan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Bashah berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar dan sudah tiada apa apa lagi kuasa ke atas mana mana keputusan kerajaan.

“Bukan sesuatu yang luar biasa untuk kerajaan atau pimpinan negeri yang baru membatalkan atau tidak meneruskan usaha kerajaan atau pimpinan terdahulu. Bukan juga satu kesalahan untuk meneruskannya. Terserah kepada mereka,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, baginya isu utama adalah kerajaan mencari jalan untuk melindungi semula kawasan yang telah di balak dan beliau tidak mengatakan pembalakan itu salah kerana ia tidak boleh dibuat sewenang wenangnya

“Apa yang saya tekankan disini bahawa perkara ini tidak perlu dipolitikkan secara keterlaluan. Hentikan menyalah satu sama lain. Teruskan usaha dan ambil tindakan segera,” katanya.

Untuk rekod Ahmad Bashah mengambil alih jawatan Menteri Besar Kedah daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 2016 sebelum Mukhriz menjawat semula jawatan itu pada 2018 selepas PRU-14. – Malaysiapost

Kredit Foto: Ahmad Bashah Md. Hanipah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here