HSR projek mega strategik berskala besar – Ka Siong

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=585653322931226&set=pb.100044596892069.-2207520000..&type=3

[PARLIMEN] PEMBINAAN Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) merupakan projek mega yang strategik berskala lebih besar dengan ketersambungan kepada tanah besar ASEAN, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menteri Pengangkutan itu, berkata cadangan asal pembinaan HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura telah dibatalkan pada 1 Januari 2021.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua negara bersetuju mencadangkan agar model baharu projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dibincangkan dan diserahkan semula kepada kedua-dua Kementerian Pengangkutan.

Katanya, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 29 November 2021.

“Susulan itu saya telah mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatannya dari Singapura pada 16 Mei 2022 bagi memperhalusi cadangan tersebut.

“Seterusnya pada 24 Februari 2022, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Thailand dan mencadangkan HSR Malaysia disambung dari Kuala Lumpur ke Bangkok.

“Kedua-dua negara bersetuju jawatankuasa khas bersama di antara Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi membincangkan mengenai perancangan, jajaran dan aspek teknikal lain berkaitan cadangan projek HSR Kuala Lumpur-Bangkok.

“Sebagai sebuah projek mega yang strategik, Kementerian Pengangkutan perlu melihat cadangan pembangunan projek ini pada skala yang lebih besar iaitu ketersambungan kepada tanah besar ASEAN,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai status projek ECRL, HSR, Pan-Borneo, MRT dan lebuh raya baharu bagi mengurangkan kesesakan terutama ketika cuti panjang dan perayaan.

Ka Siong berkata, bagi projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) pula, ia dapat menjimatkan masa perjalanan selama lapan jam kepada empat jam dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

Katanya, pembinaan keseluruhan projek ECRL ini telah mencapai kemajuan sebanyak 31.48 peratus.

“Penyiapan projek ini kelak bakal menjimatkan masa perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur selama 4 jam sahaja berbanding 7 hingga 8 jam ketika ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi Projek Transit Aliran Massa (MRT2) ataupun MRT Laluan Putrajaya yang menghubungkan Sungai Buloh, Serdang dan Putrajaya iaitu sejauh 56.4 kilometer (km) dan terdiri daripada 36 stesen dan empat stesen provisional itu, telah dimulakan pada Oktober 2015 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2023.

Katanya, sehingga Jun 2022, projek MRT2 telah mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 98.4 peratus dan dijangka akan mula beroperasi dalam bulan Januari 2023.

“Pembukaannya kelak akan menggalakkan peralihan mod kepada pengangkutan awam, sekaligus mengurangkan kesesakan lalulintas,” katanya.

Tambahnya, bagi projek MRT3 ataupun MRT Laluan Lingkaran pula, jajaran yang dicadangkan adalah sepanjang 51km dan termasuk dua depoh dan 33 stesen (termasuk dua stesen sementara).

“Di mana 10 daripadanya adalah stesen pertukaran yang menyambungkan MRT3 dengan stesen-stesen yang sedia ada termasuk KTM, LRT, Monorail, MRT Laluan Kajang dan MRT Laluan Putrajaya.

“Sepanjang 12km daripada jajaran MRT3 adalah jajaran bawah tanah manakala 39km lagi merupakan jajaran bertingkat.

“Pembinaan projek MRT3 akan melibatkan lima pakej kerja, yang terdiri daripada satu Perundingan Pengurusan Projek (PMC), tiga civil works (CMC) dan satu pakej system works.

Berhubung projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) serta pengurangan kadar tol, Ka Siong berkata, ia adalah tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Kerja Raya.

“Dengan pelaksanaan projek LPB Sabah dan Sarawak, ianya bukan sahaja akan menambahbaik jaringan jalan raya di Sarawak dan melengkapkan jaringan jalan raya ke Sabah dan Brunei,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Wee Ka Siong

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here