Tuntutan waris Sultan Sulu: “Jangan dedah strategi pada lawan” –  Dr Wan Ahmad Fauzi

0
1

PERKARA yang membabitkan kedaulatan negara dalam hubungan antarabangsa sememangnya perlu mendapat mandat Parlimen, namun isu seperti tuntutan Kesultanan Sulu perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain, berpendapat kerajaan sudah memberi penjelasan dan tindakan yang sewajarnya sedang dibuat untuk membela tuntutan berkenaan.

Menurutnya, isu berkenaan  kini dalam proses rayuan oleh kerajaan Malaysia dan Menteri yang bertanggungjawab dengan Parlimen dan undang-undang sudah membuat penjelasan mengenainya.

“Oleh kerana tuntutan Kerabat Kiram sedang dirayu pastinya pasukan Peguam Negara perlu mengkaji banyak sudut dan menimbangkan pelbagai isu agar sebarang pendekatan yang bakal diambil tidak tersalah langkah.

“Dalam tempoh kritikal ini strategi amat penting dan tidak wajar terdedah kepada pihak lawan,” katanya mengulas mengenai penolakan usul tergempar tuntutan waris Kesultanan Sulu di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, isu sekarang bukanlah suatu yang hendak dilakukan dalam konteks perjanjian antarabangsa atau menentukan dasar luar negara yang memerlukan mandat Parlimen.

“Pada peringkat ini adalah untuk membela terhadap tuntutan Kerabat Kiram dan melindungi aset Malaysia  di luar negara.

“Speaker perlu memainkan peranan untuk menenangkan Ahli Parlimen bahawa suatu kertas putih boleh dibentangkan pada masa yang sesuai agar tidak memprejudiskan kes pembelaan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, selain itu Ahli Parlimen juga wajar memberi kepercayaan kepada pasukan Peguam Negara untuk bersiap siaga dan berpuas hati dengan penjelasan Menteri berkenaan.

“Sebarang pandangan dalam keadaan yang sedang kritikal sebegini tidak semestinya hanya saluran perbahasan usul tergempar sahaja pendekatan terbaik,” katanya.

Terdahulu, Sidang Dewan Rakyat hari ini dilaporkan kecoh lebih setengah jam selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ditolak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Kekecohan bermula apabila Ahli Parlimen Kota Belud (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy, membangkitkan Peraturan Mesyuarat 18(1) selepas sesi Pertanyaan Jawab Lisan tamat dan menyatakan rasa kecewa mengenai penolakan itu.

Beliau berkata, usul itu adalah mengenai kedaulatan negara dan bukan soal remeh yang boleh diketepikan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here