KERAJAAN bersetuju mengadakan perbincangan dengan kerajaan Indonesia berhubung isu pembekuan penghantaran pekerja dari negara terbabit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ketujuh, hari ini.
Beliau berkata, ia bagi menyelesaikan masalah pengambilan pekerja asing dari negara berkenaan dan perbincangan dimulakan hari ini antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan wakil kerajaan Indonesia bagi mencari jalan penyelesaian sewajarnya.
“KSM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengadakan perbincangan bersama pihak Indonesia untuk memastikan salah faham yang berlaku dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Kita sentiasa memastikan keperluan pekerja asing berlandaskan kedaulatan undang-undang negara dan menjamin mereka dilindungi secara saksama.
“Keputusan mengenai perkara itu dijangka diperoleh dalam dua hari lagi,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Bukit Aman, hari ini yang turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Hamzah berkata, kerajaan akan memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang dan pada masa sama menjamin semua pekerja asing dilindungi hak secara saksama.
Bermula 13 Julai lalu, Indonesia menghentikan sementara semua proses berkaitan pengambilan pekerja dari negaranya di semua sektor berkuatkuasa serta merta.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, dilaporkan berkata, keputusan itu susulan wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang dimeterai untuk digunakan sebelum ini dan pihaknya sudah menghantar maklum balas itu kepada Saravanan. – Malaysiapost

