Jamal sedia lepas jawatan kepada Tengku Zafrul

0
2
Datuk Seri Jamal Md yunos

BENDAHARI Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos sedia melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ketua Umno Sungai Besar itu berkata, beliau sedia berundur daripada jawatan tersebut yang bertanggungjawab dalam aspek pengurusan kewangan parti komponen BN di 22 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Ini kerana katanya, Tengku Zafrul disifatkan individu paling layak untuk jawatan tersebut berdasarkan reputasi beliau dalam pengurusan kewangan.

“Tengku Zafrul seorang yang sangat pakar dalam pengurusan kewangan kerana mempunyai latar belakang perbankan dan lebih profesional lagi apabila beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan.

“BN Selangor sangat memerlukan seorang individu berkarisma ‘heavyweight’ seperti beliau bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sangat mencabar.

“Saya ingin menggesa kepimpinan BN Selangor mempertimbang cadangan ini untuk segera melantik Tengku Zafrul sebagai Bendahari sejurus selepas saya meletak jawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamal telah menyandang jawatan Bendahari BN Selangor sejak 2019.

Beliau sebelum ini turut mencadangkan Tengku Zafrul dijadikan ‘poster boy’ BN Selangor pada PRU15 bagi membolehkan Selangor kembali diterajui BN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here