LEMBAGA Urus Air Selangor (Luas) menerima maklumat terdapat insiden pembuangan sisa minyak hitam di Sungai Langat, petang semalam.
Insiden berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira 2 kilometer (km) ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11, Cheras.
Luas dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan dijalankan bagaimanapun tidak mengesan minyak atau bau yang abnormal.
“Siasatan ke lokasi pertama (500 meter) dari muka sauk mendapati tiada sebarang kesan minyak atau bau yang abnormal ditemukan.
“Pihak Luas meneruskan siasatan sehingga ke hulu Sungai Langat. Walau bagaimanapun tiada kesan minyak dan bau abnormal dikesan,” menurut kenyataan itu.
Menurut Luas, siasatan bersama pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ke LRA Batu 11, Cheras turut mendapati tiada bau abnormal dikesan di muka sauk berkenaan.
“Insiden berkenaan tidak memberi kesan signifikan kepada operasi LRA.
“Luas meneruskan pemantauan 24 jam tanpa henti bagi memastikan kelangsungan sumber air negeri Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara,” katanya.
Pihak Luas menyeru agar semua pihak termasuk masyarakat umum mengambil pendekatan penglibatan bersama memulihara persekitaran sumber air.
“Kelalaian atau perbuatan negatif dengan menjadikan sungai dan persekitarannya sebagai tempat pembuangan/pelupusan boleh mengundang ancaman kepada kelancaran fungsi loji-loji rawatan air di Selangor, dan seterusnya gangguan bekalan air terawat,” katanya. – Malaysiapost

