Pemilihan parti: Saifuddin sahkan PKR telah terima surat ROS

0
1

SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan parti itu sudah menerima surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung laporan wujud salah laku dalam pemilihan parti itu baru- baru ini.

Saifuddin berkata, beliau bersama peguam parti itu sedang berbincang bagi mengambil langkah seterusnya bagi memberi jawapan kepada ROS berhubung perkara itu.

“Saya masuk lewat tadi (kongres) sebab ada perbincangan dengan peguam parti di belakang tadi.

“Parti telah menerima surat dari ROS berhubung aduan pemilihan parti baru-baru ini.

“Saya akan pertahan parti sedaya saya, apa juga yang datang dari ROS,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR di Shah Alam, hari ini.

Sebelum ini beberapa pemimpin PKR yang tewas dalam pemilihan parti itu mendakwa wujud kepincangan dalam proses pengundian.

Justeru itu, ada segelintir mereka membuat laporan dan melaporkan kepada ROS.

Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak misalnya yang bertegas mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR tidak menutupi kepincangan dalam pemilihan parti itu susulan hasil audit forensik.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata pemilihan parti yang berlangsung tidak akan merosakkan hubungannya dengan Rafizi Ramli yang sudah cukup akrab umpama adik dan abang.

Sambil mengingatkan individu yang menjadi “batu api” dalam parti supaya tidak cuba melagakan mereka kerana ia tidak akan berkesan.

“Saya dan Rafizi cukup akrab, hubungan kami sangat akrab sebagai adik dan abang, saya tak akan benarkan pemilihan parti mencarikkan hubungan ini.

“Saudara nak lagakan, nak api-apikan silakan,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here