SUSPEK wanita yang disyaki membunuh suaminya di Flat Nipah, Taman Daya, di Johor Bahru semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Melody Woon Sze Mun di Mahkamah Majistret Johor Bahru, lapor Utusan Malaysia.
Suspek berusia 36 tahun yang memakai baju T berwarna putih tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada jam 8.45 pagi.
Semalam, media melaporkan, ibu kepada dua orang anak disyaki memukul suaminya yang berusia 44 tahun menggunakan objek tumpul di bahagian kepala sehingga mati.
Mangsa ditemukan terbaring di dalam rumah dengan anak sulung mereka merupakan saksi utama kejadian berkenaan.
Wanita yang bekerja sendiri itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang ditahan jam 9.15 pagi di kawasan berhampiran itu juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan dua kes dadah dan satu jenayah.
Hasil siasatan awal mendapati suspek berada dalam pengaruh dadah semasa kejadian.
Polis masih mengesan seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian berkenaan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Malaysipost
Kredit foto: Utusan Online

