PM umum lantik belia jadi Senator Dewan Negara

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan untuk melantik seorang Senator Dewan Negara dalam kalangan belia bagi membolehkan suara belia lebih didengari.

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu dilakukan selepas mengambil kira kepentingan belia kepada masa depan negara.

“Saya bincang dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) tentang pentingnya belia kepada negara, suara belia pasti akan didengari dan pandangan belia pasti dihargai oleh kerajaan.

“Untuk mendengar suara belia, saya mengumumkan untuk melantik seorang senator daripada kalangan belia dan saya percaya dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia akan didengari secara terus daripada wakil belia kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat kebangsaan di Padang Pekan Tuaran hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk dikongsikan bersama pertubuhan-pertubuhan belia lain.

Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM5.5 juta bagi memperkasa peranan belia melalui Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pertubuhan-pertubuhan belia di negara ini.

Daripada jumlah itu, RM1.5 juta telah diagihkan kepada pertubuhan belia dan selebihnya RM3.5 juta sedang diproses dan pembayaran akan dilakukan pada waktu terdekat.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, ketika ini hampir 21.4 peratus atau tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia adalah belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.

“Sememangnya angka ini sangat signifikan, sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara. Oleh itu, aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi kerajaan merangka hala tuju pada masa depan.

“Apa yang dirancang hari ini akan diwarisi belia Keluarga Malaysia generasi akan datang kerana ‘Belia pencetus revolusi masa depan negara’,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 9,766 pertubuhan belia didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019), Akta 668. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here