Berhenti bermusuh jika mahu jadi calon PRU15 – Anwar

0
1

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin serta ahli parti agar berhenti daripada bermusuhan sesama sendiri atau melupakan sahaja hasrat masing-masing untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata Anwar, parti yang dibina lebih dua dekad ini tidak boleh ditegakkan dengan kebencian dan permusuhan, sebaliknya perlu menerapkan kekuatan, kesabaran termasuk sikap dan semangat kasih sayang.

“Untuk ke depan, saudara kena ingat, harus ada kekuatan, kesabaran dan sikap dan semangat kasih sayang. Parti tidak ditegakkan melalui kebencian dan permusuhan.

“Justeru, saya sebagai Presiden, saya tidak akan maafkan saudara di ranting, cabang, AMK dan Wanita yang memilih untuk meneruskan persaingan sebelum pemilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, mereka yang masih berdegil tidak akan menerima watikah pencalonan untuk bertanding dalam PRU15.

“Kalau berterusan begitu, jaminlah tidak ada watikah yang akan sampai kepada saudara,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut membuat gesaan kepada kepemimpinan di negeri, cabang dan ranting untuk memberikan ruang dan peluang kepada barisan baharu kepemimpinan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

“Saya meletakkan harapan supaya mereka (AMK dan Wanita) mengerakkan semula kegiatan dan meneruskan perjuangan parti.

“Jika kita tidak memberikan ruang yang lebih, kita tidak akan dapat catat keputusan yang menyakinkan nanti (dalam PRU15),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa apa yang terjadi dalam kisah ‘Si kitul’ dan ‘Raja Mendeliar’ perlu dijadikan satu pengajaran oleh PKR.

“Jangan terhakis idealisme, jangan terpukau kilauan kuasa dan harta, ada orang yang dulunya reformis bersama kita, tetapi bila diberikan sedikit ujian dan kuasa dan harta, kilauan itu kaburi mata mereka, terhakis idealisme,” katanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here