SEORANG perwakilan PKR dilaporkan meninggal dunia selepas tiba di hotel penginapan malam tadi bagi menghadiri Kongres Nasional PKR Ke-16, hari ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perwakilan itu, Hasim Yusof adalah perwakilan dari Merbok, Kedah yang juga antara aktivis awal terbabit dengan perjuangan parti itu.
“Perwakilan ini datang dari jauh (dari) Merbok. Setibanya ke hotel penginapan beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Beliau meninggal dalam perjuangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Kongres Nasional PKR ke-16 hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin turut berkata, kongres Nasional PKR kali ini adalah penting bagi mensasarkan kemenangan pada Pilihanraya Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Justeru, beliau berharap parti mereka dapat memenangi PRU agar dapat mengelak suatu malapetaka daripada membiarkan kerajaan hari ini terus berkuasa lagi.
“Kita masuk PRU kali ini untuk menang dan bukan untuk menjadi pembangkang, membiarkan kerajaan yang ada sekarang terus berkuasa.
“Apa lagi sepenggal dan kita menunggu PRU ke-16 untuk kemudiannya mengambil alih, membiarkan kerajaan sekarang berkuasa lagi adalah satu malapetaka,” katanya. – Malaysiapost

