“Undilah, apa ada hal” – KM Melaka

0
1
https://www.facebook.com/photo?fbid=637935481232172&set=pcb.637937281231992

TIADA apa-apa langkah daripada pihak tertentu setakat ini berhubung undi tidak percaya yang dikatakan akan diadakan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pada 25 Julai ini, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau ingin melihat jika khabar angin itu benar berlaku dan menegaskan tidak takut jika menghadapinya.

“I want see that, is it happen or not (saya nak lihat perkara itu berlaku atau tidak).

“Kalau ada (usaha itu) undilah, apa ada hal, tak ada (nak) takut apa-apa.

“Saya pun tak tahu berita ini datang dari mana. Mungkin ada orang yang tak suka melihat kita dalam keadaan aman dan tenteram,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Strategik Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Melaka 2022, hari ini.

Sulaiman mengulas mengenai dakwaan akan wujud undi tidak percaya terhadapnya pada Sidang DUN akan datang.

Terdahulu, sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu mungkin berdepan undi tidak percaya pada Sidang DUN yang dijadual diadakan 25 Julai ini.

Portal itu memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Cina, mendakwa, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dikatakan berhasrat mengambil alih jawatan Ketua Menteri.

Ab Rauf sebelum ini beberapa kali menafikan perkara itu dan menurutnya keadaan politik Melaka tidak berdepan situasi genting seperti yang dilaporkan portal terbabit. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Sulaiman Md Ali

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here