Tengku Zafrul sangkal Malaysia bakal muflis

0
1

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dengan berniat jahat mengatakan bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.  

“Merujuk kepada beberapa laporan di media sosial yang dilihat bertujuan untuk mengelirukan rakyat mengenai kedudukan kewangan dan situasi hutang negara, MOF ingin memaklumkan bahawa kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan di tahap terkawal.  

“MOF ingin menekankan bahawa aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, hutang Kerajaan Persekutuan masih terkawal berdasarkan beberapa faktor.

“Walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang.

“Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada.

“Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya Kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang (debt charges) berbanding perbelanjaan operasi yang lain.  

“Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir (offshore borrowings) tidak boleh melebihi RM35 bilion. Pada akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah RM29.4 bilion,” katanya.

Menurutnya, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 20212 menetapkan bahawa had statutori hutang Kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hutang statutori mencatat 60.4 peratus daripada KDNK pada akhir Jun lalu.

“Selain itu, 97 peratus daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi Ringgit. Ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum,” katanya.

Beliau berkata, paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan.

“Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain.

“Pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here