Realiti politik semasa tidak memerlukan TPM – Zahid 

0
1

KEUTAMAAN harus diberikan terhadap usaha memulihkan ekonomi rakyat ketika ini berbanding sibuk memilih calon untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).  

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata apa yang diperlukan rakyat ketika ini adalah kerajaan stabil yang dipilih menerusi pilihan raya umum (PRU) sekali gus dapat memacu pembangunan negara dan memulihkan semula ekonomi rakyat.  

“Perlu lebih realistik menilai keperluan semasa. Yang diperlukan ialah memulih ekonomi semasa, kerajaan dengan mandat rakyat bukannya menuntut jawatan TPM ketika isu ekonomi rakyat perlu diberikan diutamakan, bukannya jawatan TPM. 

“Yang wajar dituntut ialah mandat rakyat melalui pilihan raya bagi menangani ketidaktentuan politik agar kestabilan terhasil, dasar ekonomi lebih kukuh dan mampu menarik minat pelabur,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.  

Menjelaskan mengenai jawatan TPM, Ahmad Zahid berkata, politik ugut-mengugut untuk menuntut jawatan itu datang dan timbul secara tiba-tiba tidak seharusnya mewarnai arena politik negara.  

Menurutnya, ketika Umno menanti keputusan Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenai pindaan Perlembagaannya, muncul pula dakwaan wujud perjanjian persefahaman antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perikatan Nasional (PN).  

“ROS akan memberikan kata putus mengenai pindaan perlembagaan UMNO sebelum 16 Julai 2022. 

“Pada masa sama, dikhabarkan ada pula perjanjian MoU di antara Perikatan Nasional dan YAB Perdana Menteri untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada PPBM. 

“Begitu banyak cerita sensasi, kontroversi dan fitnah, tohmahan serta provokasi yang dilakukan. Mungkin semuanya adalah kebiasaan sepak terajang politik,” katanya.  

Bagaimanapun Ahmad Zahid menegaskan, Umno sebagai sebuah parti tertua negara dan terbesar orang Melayu  akan sentiasa lebih matang dan bijaksana dalam menguruskan apa-apa sahaja sepak terajang politik yang melibatkan Umno. 

“Yang utama bagi saya dan juga kepimpinan utama parti adalah kebersamaan dan ukhuwah harus dijaga.  

“Parti ini akan sentiasa matang dan tetap bersedia untuk mengemudi orang Melayu, bumiputera dan rakyat Malaysia. Terutama sekali dalam menghadapi PRU15 kelak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here