Kes 1MDB: Perbicaraan dilapangkan kerana saksi sakit 

0
1

PERBICARAAN kes meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dihadapi Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilapangkan hari ini berikutan pegawai penyiasat yang juga saksi terakhir sakit. 

Dalam prosiding kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi, Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Haniff Lami mengalami pendarahan usus dan diberi cuti sakit dua hari selepas diperiksa doktor semalam. 

Pendakwaan cuba mengatur supaya keterangan Haniff diberikan melalui prosiding aplikasi Zoom, bagaimanapun pihaknya menghadapi kesukaran kerana kesuntukan masa. 

“Saksi ini (saksi ke-16 pendakwaan) bersedia untuk memberikan keterangan pada 12 Ogos ini,” katanya memetik Berita Harian. 

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mengecualikan kehadiran Arul Kanda hari ini selepas dimaklumkan berlaku salah faham antara peguamnya dan mahkamah mengenai tarikh perbicaraan. 

Sri Ram berkata, Arul Kanda kekal sebagai tertuduh dalam kes itu hingga mahkamah memberikannya sijil indemniti selepas beliau memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan terhadap Najib. 

Pada 24 Jun lalu, Mohamed Zaini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Arul Kanda menjadi saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Di akhir kes pendakwaan, mahkamah akan menentukan sama ada keterangan yang diberikan oleh Arul Kanda adalah benar, sebelum memberikannya sijil indemniti yang membebaskannya daripada pertuduhan. 

Menurut pendakwaan, Arul Kanda mungkin ada berbual dengan Najib mengenai pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan syarikat pelaburan strategik negara itu dan sebagai rakan subahat, beliau (Arul Kanda) adalah saksi yang relevan untuk dipanggil kerana berada dalam kedudukan untuk memberikan keterangan berhubung kelakuan rakan tertuduhnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here