Umno kena tukar ‘poster boy’ – Zaid Ibrahim

0
1

UMNO memerlukan ‘poster boy’ yang boleh menunjukkan kekuatan parti bagi menjamin kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Justeru, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyarankan Umno menggantikan ‘poster boy’ dengan seorang pemimpin lebih berwibawa dan mencerminkan perjuangan parti itu.

“Sebab itu kekuatan (Umno) perlu menyerlah, dan ia mestilah bermula daripada ‘poster boy’.

“Orang kata ‘poster boy’ ni calon Perdana Menteri… itu tak betul. Sebenarnya ia lambang perjuangan, kekuatan, segala-galanya yang positif dan baik yang akan dicerminkan oleh parti tersebut. Tak semestinya Perdana Menteri.

‘Poster boy’ itu menunjukkan kepada rakyat ciri-ciri perjuangan, kekuatan parti. Jadi kalau ‘poster boy’ itu menunjukkan kepintaran luar biasa, intelek luar biasa maka itu positif kepada parti,” katanya dalam hantaran klip video di Facebook miliknya, hari ini.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas Mei lalu, Umno memuktamadkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ parti itu pada PRU15.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno dipilih sebulat suara oleh perwakilan sebagai ‘poster boy’ atau bakal Perdana Menteri jika Umno dan Barisan Nasional (BN) menawan PRU15 nanti.

Menjelas lanjut mengenainya, Zaid berkata, Umno mesti memilih ‘poster boy’ yang berahsia lalu bersekongkol dengan musuh tanpa memberitahu partinya sendiri.

“Kalau ia menunjukkan kepintaran dalam ekonomi, kecerdasannya dalam menjalankan sesuatu tindakan dari masa-masa yang lepas maka dia lah yang menunjukkan nilai-nilai positif.

“Sebaliknya kalau ‘poster boy’ tidak tahu, tidak menentu pemikirannya, tidak tahu nak pilih duta atau pun dia sendiri tidak tahu kekuatan dia hinggakan sanggup menandatangan perjanjian sulit dengan musuh dan tidak memberitahu partinya, ini bukanlah ‘poster boy’ yang mencerminkan nilai-nilai sihat dan positif.

“Jadi Umno plan C pada saya ialah pilihlah poster boy yang menjamin kemenangan parti,” katanya.

Beliau mengulas menjelang pengumuman Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sama ada menerima atau sebaliknya pindaan Perlembagaan Umno pada 16 Julai ini.

Zaid berkata, Umno pastinya mempunyai plan A atau B jika ROS menolak pindaan Perlembagaan parti itu yang menangguhkan pemilihan parti diadakan selepas PRU15.

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, Ismail Sabri berjaya menjawat jawatan Perdana Menteri adalah kerana percaturan politik semata-mata.

“Kita tidak boleh pilih ‘poster boy’ kerana jawatannya. Jawatan itu ialah ‘accident’ yang berlaku secara permainan politik.

“Jadi semata-mata seseorang itu mendapat jawatan tertinggi maka dia dipilih ‘poster boy’ menunjukkan Umno tidak meniliti soal konsep perjuangan ini.

“Umno tidak begitu endah sangat soal keupayaan kepimpinan yang hendak dicerminkan. Umno mengambil jalan mudah kerana dia perdana menteri jadikan ‘poster boy’.

“Rakyat mahu pemimpin yang boleh menyelesaikan masalah, cergas, pintar, ada kebolehan tinggi… inilah masanya kita menunjukkan ‘poster boy’ yang wajar dan mampu memenangi pilihan raya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here