Dua Adun Sabah bawa usul batal perjanjian Petronas

0
1

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah akan membawa usul pembatalan Perjanjian PETRONAS yang ditandatangani dan diluluskan di Parlimen pada 1974.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Adun Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan Adun Luyang, Phoong Jin Zhe berkata, usul itu akan dibawa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu depan.

Katanya, usul itu sebagai menyahut cabaran bekas Ketua Menteri, Harris Salleh supaya mengusulkan pembatalan perjanjian itu di DUN.

Mereka berkata, semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen berkaitan hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus terlebih dahulu diluluskan di DUN, sebelum dikuatkuasakan.

“Kami mengambil maklum kenyataan bekas Ketua Menteri yang menyatakan Perjanjian PETRONAS ditandatangani bagi melaksanakan Akta Pembangunan Petroleum yang diluluskan di Parlimen pada tahun 1974.

“Beliau menyatakan wakil-wakil rakyat Sabah pada ketika itu juga menyokong keputusan berkenaan.

“Harris juga menyatakan supaya kami mengemuka usul di DUN bagi membatalkan Perjanjian Petronas dan kami terima cabaran itu. Kami akan usulkan pada sidang DUN yang berlangsung 18 hingga 21 Julai ini,” katanya memetik Berita Harian.

Ewon dari Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) dan Phoong dari DAP berkata, sekiranya tidak diluluskan di peringkat DUN, akta berkenaan seharusnya tidak boleh dikuatkuasakan di Sabah.

“Kami tetap dengan pendirian Perjanjian Petronas ditandatangani oleh Harris dan Joseph Pairin Kitingan satu kesilapan besar yang merugikan rakyat Sabah sehingga kini.

“Wakil-wakil rakyat yang bersetuju dengan keputusan itu juga turut sama bertanggungjawab atas kesilapan berkenaan.

“Sabah memerlukan kepimpinan tegas dan tidak mudah akur kepada kehendak kerajaan Persekutuan, apatah lagi jika ia hanya memberi keuntungan kepada Putrajaya,” kata mereka.

Mereka tidak menolak untuk mempertimbang memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan Akta Pembangunan Petroleum dan Perjanjian PETRONAS, sekiranya usul itu tidak berjaya dibawa ke sidang DUN.

Mereka berkata, semakan kehakiman boleh dibuat mengambil kira perjanjian itu dibuat ketika Ordinan Darurat berkuat kuasa, yang kini sudah dibatalkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here