SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengaku terbabit dalam membuat draf perjanjian berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri sepertimana dibangkitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, draf perjanjian itu dibuatnya atas kedudukan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu dan bukan atas kapasiti parti.
“Saya bekas Menteri Undang-Undang, jadi semua yang berkaitan undang-undang ni memang saya yang gubal, bukan kerana saya ini Takiyuddin atau apa.
“Bila beliau (Muhyiddin) cakap macam tu, betullah tu, sayalah yang kena buat, ia dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA).
“Saya hanya draf, yang tandatangan itu orang lain,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (zon tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Bukit Gantang, hari ini.
Takiyuddin mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin semalam, yang meminta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merujuk kepadanya mengenai kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Terdahulu pada Jumaat lalu, Abdul Hadi menyatakan tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara PN dengan Perdana Menteri.
Mengulas perkara itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, tidak semua pemimpin mengetahui butiran MoA terbabit melainkan mereka yang terlibat secara langsung ketika menandatanganinya.
“Kena tanya semula Tuan Guru (Abdul Hadi) sama ada tahu atau tidak kerana beliau bukanlah individu yang terlibat atau menandatangani MoA itu,” katanya.
Menurutnya, lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bukanlah satu ketetapan yang wajib dilaksanakan kerana tidak termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Jelasnya, sepertimana butiran MoA yang ditandatangani itu ada menjelaskan bahawa pelantikan timbalan itu ada sekiranya Perdana Menteri berhasrat sedemikian.
“Selama ini yang ada Timbalan Perdana Menteri daripada Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir itu adalah undang-undang yang kita sebut konvensyen iaitu amalan yang tidak ada dalam perlembagaan.
“Jadi bila tidak ada (dalam perlembagaan), terpulang kepada Perdana Menteri dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, tidak boleh kata wajib lantik, tak boleh,” katanya. – Malaysiapost

