Jawatan TPM: Perjanjian terlalu sulit hingga Presiden PAS tak tahu

0
1

JIKA mengikut logik, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Berdatu sepatutnya sudah boleh menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, ia berikutan sehingga kini Bersatu masih tidak diberi jawatan nombor dua kerajaan seperti didakwa wujud janji antara Ismail Sabri dan Muhyiddin sebelum ini.

“Kalau ikut logiknya, TS Mahiadin (Muhyiddin) dan PPBM (Bersatu) yang patut tarik balik sokongan itu.

“Ia lebih kurang samalah dengan ‘menekan butang’ seperti diugut terhadap kerajaan campuran BN-PN Johor satu ketika dulu semasa PRN Melaka dan sebelum PRN Johor.

“Perjanjian sudah terbatal. MoU pun dah tamat. Kenalah tekan butang,” kata Shahrir menerusi hantaran di Facebooknya.

Secara menyindir, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata rupanya ada perjanjian sulit untuk Muhyiddin dan Bersatu menyokong Ismail Sabri jadi Perdana Menteri.

Malah katanya, ia begitu sulit sehingga kepimpinan Umno tidak tahu, begitu juga kepimpinan PAS yang parti rakan komponen Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Dari Umno, hanya DS Ismail Sabri dan Tan Sri Annuar Musa yang terlibat. TS Annuar terlibat sebagai saksi.

“Bagi PAS pula, hanya (Datuk Seri) Takiyudin (Hassan) yang tahu. Tapi, kerana ia perjanjian sulit, Presiden PAS pun tak boleh tahu.

‘Tapi kalau sudah didedahkan sedangkan ia suatu perjanjian yang sulit, adakah perjanjian itu terbatal?,” katanya.

Semalam Muhyiddin dilaporkan meminta Tan Sri Abdul Hadi Awang merujuk kepada Setiausaha Agung PAS, mengenai kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan Muhyiddin itu hadir selepas Presiden PAS tersebut baru-baru ini menyatakan tiada perjanjian bagi lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Ismail Sabri dengan Bersatu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, berkata Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS, ialah individu yang menggubal draf perjanjian itu.

Selain itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu mengingatkan Abdul Hadi Awang bahawa, selain Takiyuddin, saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Annuar.

Jumaat lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata tiada sebarang perjanjian berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Ismail Sabri dan PN.

Sebaliknya Abdul Hadi berkata sejak awal penubuhan kerajaan sedia ada, tiada persetujuan serta sebarang keputusan dibuat berhubung pelantikan jawatan tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here