DATUK Afdlin Shauki menjelaskan tindakannya menentang penutupan Crackhouse Comedy Club (CH), bukan kerana menyokong perbuatan kontroversi wanita itu, sebaliknya mempertahankan periuk nasi mereka yang tidak bersalah dalam mencari rezeki di kelab itu.
Pelakon, penerbit dan pengarah itu menegaskan sekali lagi bahawa sekiranya seseorang yang melakukan kesalahan, pihak bertanggungjawab perlu mendenda atau menghukum individu tersebut, namun bukan tempat terbabit kerana akan memberi kesan kepada mereka yang bekerja di situ.
“Kenapa saya berkata saya menentang penutupan adalah kerana isu periuk nasi orang yg mencari rezeki dengan membuat komedi. Semua orang ada kelebihan mereka yang diberi untuk mencari nafkah.
“So isu dia kita kena dakwa pesalah tu! Tapi bayangkan seorang datang ke tempat kerja awak dan tiba-tiba mendajal korang semua sampai tempat kerja semua kena tutup. Apa perasaan anda? Penghinaan kepada agama kita memang tak boleh terima!
“Apa minah tu buat memang haram jadah. Jadi kawalan yang lebih baik harus di lakukan di mana-mana tempat persembahan. SOP memang sudah ada tapi kalau orang tak ikut kita kena ambik tindakan segera,” katanya menerusi Facebook.
Afdlin berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang tegas perlu diperjelaskan kepada setiap peserta yang ingin membuat persembahan di ‘open mic’.
Justeru, katanya, beliau tidak menghalang jika pihak berkuasa menutup sementara kelab komedi itu bagi melakukan siasatan, tetapi jangan membuat keputusan untuk terus menutup tempat itu kerana bukan hanya menutup periuk nasi malah pentas kecil untuk bakat baharu pelawak solo (stand up) menyerlah akan hilang.
“Saya berdiri untuk isu ni kerana saya juga ada restoran komedi yang berbentuk keluarga Comedy Planet dahulu. Cuma saya buka pada student student komedi saya supaya diorang boleh ada tempat untuk belajar, menjadi lebih baik dan pada waktu yang sama boleh buat duit sikit.
“‘Open mike’ kami lakukan dan di buka untuk orang yg nak mencuba dan di restoran saya tak pernah kami alami apa-apa penghinaan kepada agama pasal SOP yang kami beri pada pelawak.
“Jadi penutupan sementara untuk membantu siasatan polis silakan, tapi, Bila saya dengar berita crackhouse akan di tutup, saya agak terkejut kerana ini tempat di mana ramai pelawak ternama di kaca tv sekarang mendapat permulaan mereka,” katanya.
Afdlin berkata, beliau juga seorang beragama Islam dan terkesan dengan perbuatan wanita terbabit serta sekeras-kerasnya melaknat apa yang dibuat oleh mana-mana orang yang menghina islam.
Katanya, bukan setakat menghina agama Islam, wanita itu juga menabur pasir dalam periuk nasi orang lain khususnya pelawak.
“Di dunia memang patut di saman dan dipenjarakan , tapi di akhirat dia sendiri mesti mahu ingat.
“Orang yang mengenali saya mengetahui komitmen saya kepada agama islam, kerja-kerja NGO di palestin, Syria dan usaha saya untuk sentiasa memberi manafaat kepada orang di sekeliling saya. Yang tak mengenali saya, akan cakap apa saja yang diorang suka. Saya maafkan.
“So takpe, cakaplah awak nak cakap pasal saya. Tapi periksa dulu apa yang saya maksudkan. Tak pernah sekalipun saya cakap yang saya menyokong penghina islam itu! Sekarang ni saya menyalahkan beliau kerana menghina agama islam! Dan menabur pasir di atas periuk nasik pengkarya yang cuba mencari sesuap nasi.
“Ingat tak masa pandemik di mana anak-anak seni dan ramai rakyat malaysia tak boleh cari makan? Anak seni masih susah lagi dan inilah tempat mereka bagi anak bini makan!,” katanya.
Afdlin turut mengharap wanita itu dikenakan tindakan yang berat atas perbuatannya.
“Kalau awak rasa tak perlu follow saya lagi silakan. Saya cuma bercakap dari hati dan bercakap benar. Saya selalu praktikkan Jangan komen bila marah. Fikir dulu kemudian baru komen. Itu maksud saya dengan tenang-tenang aja di pos sebelum ni.
“Saya harap penghina islam itu di kenakan tindakan yang sekeras kerasnya,” katanya. – Malaysiapost

