Afdlin Shauki mohon netizen ‘tenang-tenang aja’

0
2
Afdlin Shauki

PELAKON, penerbit dan pengarah Datuk Afdlin Shauki yang membantah penutupan sementara pengoperasian Crackhouse Comedy Club, kini dihambat kecaman netizen kerana dikatakan tidak sensitif melibatkan isu agama Islam.

Setelah memuat naik hantaran mempersoal penutupan sementara kelab komedi itu, laman Facebook Afdlin dihujani dengan komen-komen netizen yang kurang senang dengan tindakannya seperti menyokong pihak lain menggunakan Islam sebagai ‘content’ persembahan komedi.

Rata-rata warga maya berpendapat Afdlin sebagai penggiat seni berpengalaman seharusnya lebih faham dengan ‘kualiti’ seorang pelawak, dan mengerti bahawa mana-mana isu melibatkan agama akan membawa kepada tindakan undang-undang.

“Jika kesilapan itu pada penganjur maka tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memberi ruang kepada penganjur membuat ‘check and balance’. Rendahkan ego dan senada dengan pihak berautoriti bagi membangunkan seorang pelapis pelawak berkualiti,” kata Muawwidz.

“Rezeki bukan datang dari komedi tapi dari Allah. Orang datang rumah kita, kita kenalah kemas. Jangan pusing sana, pusing sini. Hilang respect,” ujar Apeyjal Kacung.

“Kena tutup kolam renang bila sorang perenang cirit dalam kolam,” kata Wan Midgee.

Bagaimanapun, setelah diasak dengan kecaman netizen, pengarah filem Papadom dalam sebuah hantaran lain memuat naik gambar sedang membuat aktiviti selam skuba dengan kapsyen “tenang-tenang aja..”.

Semalam, Afdlin membantah Crackhouse Comedy Club ditutup sementara kerana kelab itu merupakan pentas kecil untuk semua pelawak solo (stand up) baharu menonjolkan bakat mereka.

Katanya, kelab komedi itu sepatutnya dibenarkan beroperasi berikutan perbuatan wanita yang mencetuskan permasalahan itu tidak ada kena-mengena dengan tempat tersebut yang hanya memainkan peranan sebagai platform mengetengahkan bakat.

“Takkan kita tutup swimming pool pasal seorang peserta renang ambik steroid? Itu salah perenang bukan salah swimming pool!,” katanya menerusi Instagram.

Tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas mendakwa dirinya sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.

Susulan itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam kenyataan memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat siasatan lanjut terhadap lesen premis itu dan tindakan menggantung sementara pengoperasian premis berkenaan telah dilakukan serta merta.

Wanita berusia 28 tahun tersebut dilaporkan telah direman selama tiga hari bermula semalam hingga 12 Julai bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here