Polis kesan dua suspek kes khianat berhampiran CIQ

0
1
Polis Di Raja Malaysia

POLIS sedang mengesan dua individu lelaki dan perempuan yang terbabit dalam kejadian khianat berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, Johor, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi itu, didapati kenderaan dipandu mangsa bergesel dengan kereta dipandu mereka.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata ketika kejadian, mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Alphard mengubah laluan ke kanan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis KIA yang dinaiki dua suspek itu dari arah kanan.

“Suspek lelaki dan perempuan berhentikan kenderaan dan turun. Suspek lelaki kemudian bertindak menjerit dan menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

“Manakala suspek perempuan bertindak mencabut nombor pendaftaran kereta mangsa dan mencampaknya arah cermin hadapan keretanya.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang dari Forest City ke Singapura,” katanya dalam kenyataan.

Rahmat berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun terdapat kerosakan pada keretanya.

“Terdapat rakaman papan pemuka (dashcam) dalam kereta mangsa selain video tular dirakam pengguna jalan raya lain.

“Bagaimanapun, pengguna jalan raya dinasihati supaya memandu secara berhemah dan tidak terburu-buru terutama di laluan CIQ Link Kedua (Second Link) terutama ketika musim perayaan yang merekodkan jumlah kenderaan yang banyak,” katanya

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here