“KAU memalukan orang Kuala.”
Itu respon penyanyi Datuk Hattan, 58, berkenaan tindakan wanita yang dikatakan sengaja menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail.
Hattan atau nama sebenar Mohd Shukri Shahabudin menerusi video di laman Instagram, juga menyelar tindakan wanita itu menggunakan agama semata-mata untuk persembahan komedi berdiri (stand up comedy).
“Kalau kau masuk tak bertudung pada mula, itu urusan kau dengan tuhan pada mula.
“Tapi kau menggunakan ‘cabut’ tudung, baju jadi subjek kelakar. Memang tidak kelakar langsung. Nampak bangang.
“Mana kau belajar kelakar macam itu. Siapa cikgu kau ajar macam tu?,” soalnya dalam video itu.
Pelantun lagu Rendang Tak Berbuah itu juga menyifatkan wanita yang mengakui berasal daripada Kuala Kangsar Perak, memalukan apabila dengan bangga melakukan perkara tidak senonoh dihadapan khalayak ramai.
“Memalukan orang Kuala (Kangsar) la kau ni. Kau tidak boleh fikir ke?,” katanya.
Wanita yang dikenali Siti Amira Natasha Abdullah dikecam selepas tular membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton di sebuah kafe komedi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.
Terkini, wanita itu dilaporkan sudah ditahan polis untuk siasatan.
Perkara itu dimaklumkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang menjelaskan wanita yang menggelar dirinya Amy itu ditahan polis, semalam.
“Alhamdulilah. Amy telah ditangkap semalam. Tahniah PDRM,” katanya menerusi Facebook, hari ini. – Malaysiapost

