Aidiladha disambut sederhana di seluruh negara

0
1
Ibadah korban

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan jemaah di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 8.20 pagi yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah disambut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut berada di masjid ialah barisan pentadbiran negeri dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, lapor Bernama.

Solat sunat tersebut dipimpin oleh imam besar masjid Mohd Hafidz Suhailie yang turut menyampaikan bacaan khutbah Aidiladha.

Selesai solat, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal berkenan menyaksikan ibadah korban yang berlangsung di pekarangan masjid yang turut melibatkan lembu sumbangan Seri Paduka.

Sementara itu, sambutan Aidiladha di ibu negara disambut sederhana tetapi meriah selepas negara memasuki fasa endemik, Mei lalu.

Cuaca yang baik pada sebelah pagi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat hari raya dalam keadaan selesa diikuti ibadah korban yang dilakukan di beberapa tempat seperti di masjid, surau, kampung dan taman perumahan.

Selain itu, keadaan di beberapa jalan raya di ibu negara lengang berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here