DATUK Dr Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian di antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin ketika presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri, menegaskan, walaupun beberapa pihak menafikan Ismail Sabri dan Muhyiddin memeterai sebarang perjanjian mengenai jawatan timbalan perdana menteri, persefahaman itu memang ada.
“Saya ingin mengesahkan perjanjian ini wujud. Ia ditandatangani oleh Muhyiddin dan perdana menteri pada 17 Ogos 2021, disaksikan oleh seorang menteri dari Bersatu dan seorang lagi menteri dari Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah, Marzuki mendakwa, beliau sendiri sebagai pegawai perdana menteri kelapan Malaysia telah terlibat secara langsung dalam perjanjian itu termasuk menyediakannya.
Semalam, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PAS berpendapat tiada keperluan untuk mengadakan jawatan timbalan perdana menteri seperti yang diinginkan Bersatu, malah tiada perjanjian sebelum ini dimeterai.
Menjelaskan mengenainya, Marzuki berkata, ada sebab mengapa perjanjian tersebut tidak didedahkan.
“(Salah) Satu fasal dalam perjanjian ini menyebut bahawa dokumen perjanjian tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk.
“Ia hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak,” katanya.
Isu perjanjian Bersatu dengan Ismail Sabri kembali hangat susulan Muhyiddin mengesahkan telah bertemu dengan naib presiden Umno itu berkenaan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kedudukan kouta menteri untuk Bersatu dalam Kabinet.
Bagaimanapun Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan telah membuat penafian serta mempersoalkan mengapa ia hanya dibangkitkan sekarang.
Shahril yang juga naib ketua Pemuda Umno itu menegaskan, perkara berkenaan tidak pernah diumumkan atau dibincangkan.
Justeru, Shahril menyifatkan dakwaan mengenai perjanjian berkenaan adalah rekaan semata-mata. -Malaysiapost

