Jual tangkapan pada nelayan asing: LKIM minta rujuk agensi penguatkuasa

0
1

DAKWAAN kononnya nelayan tempatan menjual hasil tangkapan mereka kepada nelayan asing adalah di luar bidang kuasa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kata Ketua Pengarahnya, Yusoff Othman. 

Yusoff berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada jabatan dan agensi penguatkuasa yang berkaitan memandangkan fokus utama LKIM adalah menjaga kebajikan nelayan. 

“Dari segi sumber (berita) berkaitan perkara ini (tuduhan jual hasil), saya tak nak komen kerana tugas diamanahkan kepada LKIM adalah untuk menjaga (kebajikan) mereka (nelayan). 

“(Jadi), kena tanya jabatan dan pihak berkuasa yang berkaitan mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui media di Kuantan, Pahang. 

Terdahulu, Yusoff mengiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam majlis penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Kluster Nelayan Fasa 2 yang diadakan di Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah, Kuantan. 

Seramai 3,133 ahli persatuan nelayan negeri Pahang menerima bantuan pada majlis itu. 

Sebelum ini, Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul mendakwa nelayan tempatan menjual hasil tangkapan kepada nelayan asing untuk kaut untung lebih. 

Susulan kenyataan dibuat Syed Abu Hussin, beberapa persatuan nelayan tampil menafikan tuduhan berkenaan dan meminta Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menunjukkan bukti. 

Selasa lalu, Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassin Mohammed dilaporkan berkata, semua nelayan di negeri terbabit membawa pulang hasil laut ke darat dan menafikan wujud aktiviti jual beli di tengah laut. 

Dalam pada itu, Yusoff ketika ditanya mengenai usaha LKIM bagi membantu komuniti nelayan di Pahang memaklumkan, pihaknya menyediakan peruntukan RM15 juta bagi menaiktaraf jeti pendaratan ikan yang terletak di Jalan Tanah Putih, dekat Kuantan. 

Katanya, projek itu membabitkan dua komponen untuk menambahbaik jeti pendaratan ikan dan hasil laut, serta bangunan pentadbiran. 

“Selain itu, kita juga akan mewujudkan pasar borong dan pasar hasil laut melalui projek naik taraf ini. 

“Kita harap kompleks LKIM Kuantan boleh menjadi mercu tanda baru untuk bandar raya Kuantan apabila siap kelak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here